Pages

11/2/10

Kepentingan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan

.Menjelang tahun 2003, bahasa Inggeris telah mula digunakan dalam pendidikan di Malaysia. Sistem ini dimulakan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar untuk mata pelajaran sains dan matematik. Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan kepada pelajar tahun 1 serta pelajar tingkatan 1. Beberapa tahun kemudian, semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pendidikan sains dan matematik. Biarpun program ini diliputi dengan pelbagai kontravesi namun tindakan kerajaan melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan memberi pelbagai kebaikan.

............Antara faedah menguasai bahasa Inggeris dalam pendidikan adalah bagi membolehkan pelajar menguasai isi pelajaran yang kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, memandangkan beberapa mata pelajaran penting seperti sains, matematik, teknologi maklumat dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris maka kegagalan pelajar menguasai bahasa ini akan melemahkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang disebutkan tadi. Pepatah Melayu pernah menyebut, “kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”. Begitulah juga halnya, jika penggunaan bahasa Inggeris tidak dimulai dari sekarang, selagi itulah para pelajar akan ketinggalan dalam mata pelajaran tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Inggeris adalah amat perlu dikuasai agar para pelajar dapat memperoleh ilmu npengetahuan yang kebanyakannya hanya dapat diperoleh melalui kemahiran berbahasa Inggeris.

............Selain itu, bahasa Inggeris juga penting dalam pendidikan di negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Penguasaan bahasa inggeris yang dimulakan dari sekolah mampu melahirkan individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh dunia. Sebagai contohnya, kemahiran berbahasa Inggeris amat penting apabila seseorang individu ditugaskan di luar Negara atau membawa misi negara di luar negara. Kegagalan berkomunikasi dengan berkesan menggunakan bahasa Inggeris akan menjejaskan pelbagai peluang baik berupa peluang ekonomi mahupun sosial. Jelasnya, pendidikan bahasa Inggeris di peringkat sekolah mampu melahirkan individu yang “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan masyarakat lain di seluruh dunia.

............Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan juga penting kerana dengan penguasaan bahasa tersebut para pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan baik dapat berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Memandangkan bahasa Inggeris telah diterima sebagai bahasa antarabangsa, kebanyakan universiti teragung di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Jika seseorang pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik maka peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah lebih cerah. Sebagai contohnya, institusi pendidikan swasta seperti kebanyakan institusi pendidikan swasta di negara kita juga telah mengimplementasi penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar mereka di institusi pendidikan tinggi swasta. Oleh yang demikian, para pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi perlulah menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

............Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga penting kepada para pelajar bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pada masa depan. Perlu diingat bahawa majikan akan lebih tertarik untuk mengambil pekerja yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa Inggeris. Sebagai contohnya, pekerjaan dalam bidang telekomunikasi, penyiaran, teknologi maklumat dan sebagainya amat memerlukan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh itu, lepasan sekolah atau universiti yang mahir berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Tambahan pula, mereka yang mahir berbahasa Inggeris lebih diminati oleh majikan dari syarikat-syarikat besar yang biasanya menawarkan pendapatan lebih lumayan. Jelasnya, bahasa Inggeris amat penting dipelajari di sekolah demi memanfaatkan pelajar bagi tujuan membina kerjaya pada masa yang akan datang.

______Sementara itu, kemajuan ekonomi negara yang telah melepasi sempadan negara, mengakibatkan Malaysia memerlukan penduduk yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik agar dapat bersaing dengan mereka dari seluruh dunia. Pendidikan bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa. Sebagai contohnya, perkongsian dalam bidang ekonomi, sosial mahupun bidang teknologi memerlukan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Umumnya, mereka yang gagal menguasai bahasa ini akan berdepan dengan pelbagai rintangan yang dapat mengganggu komunikasi serta boleh menggagalkan peluang yang tersedia pada peringkat antara bangsa. Justeru, pendidikan bahasa Inggeris di sekolah berperanan membina masyarakat yang lebih berdaya saing pada peringkat global suatu hari nanti.

______Intihanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua pelajar. Seseorang yang dapat menguasai bahasa ini akan lebih berkeyakinan dan mampu merebut peluang yang tersedia sama ada pada peringkat nasional atau pada peringkat antara bangsa. Namun begitu, biar bagaimana penting sekalipun bahasa Inggeris ini digunakan oleh masyarakat antarabangsa namun penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara amat perlu dipertahankan dan dipertingkatkan martabatnya. Kita tidak mahu bahasa rasmi kita pupus akibat kelalaian kita mengagungkan bahasa Inggeris umpama kata pepatah Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.

No comments:

Post a Comment