Pages

12/24/10

PROJEK NUKLEAR MALAYSIA

Tahun 2010 adalah tahun yang mencabar bagi Nuklear Malaysia. Alhamdulillah, dengan kematangannya selama lebih tiga dasawarsa membolehkannya mempu mengharungi cabaran dan menangani perubahan dengan gigih serta berjaya. Sesuai dengan perkembangan dan tuntutan semasa, strategi pelaksanaan dan pelan tindakan telah dirangka agar berupaya menepati sasaran yang ditetapkan. Nuklear Malaysia telah memberikan penekanan bukan sahaja kepada peningkatan keupayaan modal insan malah memastikan setiap aktiviti yang dijalankan adalah selaras dengan kepentingan nasional serta aliran perdana sains dan teknologi negara.
  
Pertukaran nama daripada Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) kepada Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan perubahan struktur organisasi memungkinkan fokus terhadap fungsi dan aktiviti tumpuan menjadi lebih jelas. Penyusunan ini telah menempatkan aktiviti Nuklear Malaysia ke dalam program penyelidikan dan pembangunan teknologi, sokongan teknikal, pengkomersialan dan perancangan teknologi, dan khidmat pengurusan. Dengan penekanan tersebut, tumpuan aktiviti Nuklear Malaysia akan bersifat lebih terarah dan tersusun, lebih-lebih lagi dengan kecenderungan baru dalam kuasa nuklear sebagai sumber tenaga alternatif negara kita.

Perancangan dan Pembangunan Teknologi 
Tahun 2006 adalah tahun pertama pelaksanaan RMK9 dalam kerangka gagasan misi nasional ke arah mencapai Wawasan 2020. Tahun ini juga adalah permulaan mekanisme projek R&D peringkat nasional yang baru diperkenalkan. Menyedari hakikat potensi sains dan teknologi sebagai agen pertumbuhan ekonomi baru negara dalam menghadapi pasaran kompetitif dan persaingan global, Nuklear Malaysia telah menumpukan R&D kepada enam bidang keutamaan, terdiri daripada bahan termaju, pembuatan termaju, bioteknologi, ICT, sumber alternatif dan teknologi nano. Atas sifatnya yang merentasi pelbagai disiplin, teknologi nuklear menunjukkan kemapuan menyelesaikan masalah teknikal yang timbul. Projek R&D yang dijalankan adalah berpaksikan pacuan pasaran supaya hasilnya akan dapat dimanfaatkan untuk menjana ekonomi dan pulangan melalui kegiatan hiliran. Pelaksanaan projek R&D pula dipantau dan dianalisis secara berkala bagi memastikan projek tersebut berada di landasan yang betul dan sasaran dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagi memantapkan pelaksanaan projek dan mengoptimumkan perkongsian sumber, projek-projek kecil yang telah dikonsolidasikan kepada beberapa projek besar yang bersesuaian untuk mendatangkan impak sosioekonomi yang lebih signifikan. Dalam hal ini, selain menjalankan beberapa projek bersama rakan-rakan penyelidik dalaman secara matriks, kerjasama penyelidikan juga dijalankan dengan organisasi-organisasi luar. Kerjasama penyelidikan telah dipertingkatkan dengan penggiat industri supaya hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara langsung. Untuk itu, usaha-usaha telah dibuat supaya hasil-hasil penyelidikan dapat dikomersialkan melalui pemindahan dan pelesenan teknologi.
Pengkomersilan Teknologi
Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan yang mempunyai potensi pasaran. Inisiatif banyak diambil dengan menumpukan usaha mempromosikan produk dan proses yang terhasil, melalui penyertaan dalam peragaan teknologi dan pameran selain mengenal pasti rakan niaga. Nuklear Malaysia telah turut serta dalam pameran dan pertandingan inovasi, dan peluang ini juga diambil untuk membina jalinan kerja. Dalam hal ini, promosi di kalangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah diberi tumpuan istimewa sesuai dengan hasrat kerajaan untuk mentrasnformasi syarikat PKS kepada perusahaan teknologi yang lebih besar dan mampu berdikari. Beberapa usul kerjasama telah dimeterai bersama PKS terpilih dengan cara membantu mendapatkan sumber biaya bagi menjalankan kegiatan komersil. Usaha membangunkan teknousahawan bukan sahaja dijalankan dalam kalangan syarikat, malah warga kerja Nuklear Malaysia juga turut diberi peluang dan didedahkan dengan aspek-aspek keusahawanan. Rancangan Bicara Eksekutif, misalnya telah diadakan di Nuklear Malaysia dengan menjemput tokoh-tokoh usahawan menyampaikan ceramah sebagai pendedahan terhadap alam niaga dan memupuk minat keusahawanan.

Melalui aktiviti komersialisasi dan pemindahan teknologi, Nuklear Malaysia telah berjaya menjanakan pendapatan sebayak RM12.7 juta, iaitu kira-kira 22.3% daripada sasaran biaya diri.

Sokongan Korporat

Aktiviti korporat dijalankan terutama sebagai suatu sokongan bagi melicinkan perjalanan program R&D Nuklear Malaysia. Kemantapan dan kejayaan projek R&D banyak bergantung kepada aktiviti korporat meliputi pembangunan modal insan, hubungan kerjasama dua hala dan pelbagai hala. Pendekatan ini telah membantu Nuklear Malaysia memperoleh pengetahuan dan teknologi baru, serta membangun kapasiti warga kerja selaras dengan tuntutan prinsip semasa negara.

Usaha-usaha promosi dan penjenamaan semula menjadi agenda penting peningkatan citra organisasi, khususnya dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat lebih-lebih lagi dengan perubahan nama MINT menjadi Nuklear Malaysia. Ceramah, pameran, hubungan media, penerbitan berkala dan lawatan adalah sebahagian daripada wisalah untuk mendekatkan teknologi nuklear dengan orang ramai. Pembangunan modal insan dan pemupukan bakat terus dititikberatkan untuk melahirkan warga kerja bertaraf dunia yang kompetitif, berdaya tahan, kreatif dan inovatif. Sehubungan itu, modul-modul latihan yang komprehensif direka bentuk selain menggalakkan penyertaan dalam latihan formal dan tidak formal, selaras dengan saranan kerajaan tentang menyertai tujuh hari latihan setahun sebagai seorang pekerja. Di samping itu, warga kerja khususnya para penyelidik diberi peluang untuk mendapatkan kelayakan akademik yang lebih tinggi di peringkat pascaijazah melalui projek penyelidikan yang diluluskan oleh Nuklear Malaysia. Kaedah ini mempunyai matlamat tiga penjuru: kemajuan kerjaya, memastikan kejayaan sesuatu projek dan menyumbang kepada peningkatan saintis dan jurutera penyelidik (RSE) dalam nisbah 50 RSE bagi setiap 10,000 tenaga buruh yang dihasratkan kerajaan dalam RMK9.

Ruang terus dibuka bagi mempermudah warga Nuklear Malaysia untuk berkarya bukan sahaja bagi tujuan menyebarkan ilmu dan memperkaya khazanah penerbitan karya saintifik malah sebagai usaha memperkukuh posisi Nuklear Malaysia dalam komuniti saintifik.

Atas kepentingan kualiti dan menyerlahkan keunggulan organisasi, pengurusan kualiti terus diberi perhatian bagimemastikan kemantapan perkhidmatan, kecekapan sistem penyampaian dan ketelusan. Selain mengekalkan pengiktirafan ISO 9001 dan ISO/IEC 17025 bagi perkhidmatan sedia ada, Nuklear Malaysia mula mengorak langkah untuk mendapatkan pengiktirafan sistem kualiti integrasi untuk pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Pengantarabangsaan

Di arena antarabangsa, melalui usaha yang tidak mengenal jemu, Nuklear Malaysia telah berjaya mengembangkan aktiviti khidmat teknikal, perundangan dan latihan dengan menembusi pasaran baru di negara-negara Timur Tengah dan Afrika, beralih daripada pasaran tradisi di negara-negara anggota Asean seperti Brunei Darussalam, Myanmar dan Vietnam. Kemasukan Nuklear Malaysia ke negara-negara tersebut adalah sebagai titik mula untuk menembusi pasaran global yang lebih selaras dengan langkah-langkah mengantarabangsakan Nuklear Malaysia.

Keanggotaan Malaysia dalam IAEA banyak membawa manfaat khususnya kepada Nuklear Malaysia dari aspek pembangunan kepakaran sumber manusia, sehingga tidak sedikit pegawai Nuklear Malaysia telah dilantik sebagai pakar IAEA bagi membangunkan prasarana sinaran dan kemudahan penyelidikan di negara-negara anggota. Atas kepakaran tersebut, di samping sikap profesionalisme dan iltizam yang tinggi, pegawai-pegawai Nuklear Malaysia banyak mengetuai projek kerjasama serantau dan sering dipilih menjadi pegawai penyelia latihan kepada felo IAEA.

No comments:

Post a Comment