Pages

3/13/11

PKR letak calon cabar Abang Johari

Profil Ketua AMK Sarawak mula diedar 

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg, akan dicabar oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari, 35, pada Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Ke-10 yang dijangka diadakan pertengahan bulan depan.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mula mengedar profil Ahmad Nazib yang juga seorang peguam di kebanyakan rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, bermula semalam, dalam usaha parti itu memperkenalkan bakal calonnya kepada pengundi.
Berita Minggu turut memperoleh profil berkenaan yang antara lain menyatakan latar belakang Ahmad Nazib yang juga pemilik guaman Ahmad Nazib & Associates yang berasal dari Kampung Temedak, Jalan Patingan dekat sini, serta pembabitannya dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik. 

Abang Johari, 60, yang juga Menteri Perumahan dan Perancangan Bandar yang ditemui Berita Minggu berkata, ini bukan kali pertama beliau dicabar oleh Ketua AMK parti itu kerana pada 2001 juga beliau pernah dicabar Ketua AMK ketika itu, Zulrusdi Mohamad Hol dan pada 2006 lalu beliau ditentang Mohamad Jolhi juga dari PKR. 

Pada 2006, Abang Johari menang dengan majoriti 2,798 undi, berbanding 2,859 majoriti pada 2001. Beliau dijangka akan dicalonkan sekali lagi oleh Barisan Nasional (BN) untuk penggal ke-8 di kerusi DUN Satok. 

Biarpun sudah tujuh penggal mempertahankan kerusi berkenaan, Abang Johari tidak memandang rendah cabaran PKR walaupun sudah banyak kali berdepan calon PKR sebelum ini. 
Justeru katanya, BN sudah bersiap sedia sepenuhnya, termasuk merangka strategi khusus bagi menangkis serangan pembangkang yang semakin ligat menggunakan media alternatif seperti laman blog dan internet. 

“Kita juga menjangkakan strategi kempen agresif daripada pihak pembangkang kali ini. Namun kita sudah bersedia sepenuhnya, kerana ini bukan kali pertama PBB berdepan cabaran seperti ini. 

“Malah saya boleh katakan cabaran yang kita hadapi ketika peristiwa Ming Court pada 1987 lebih buruk kerana ketika itu ramai ‘musuh dalam selimut.’ Pada pilihan raya kali ini kita tahu jelas siapa musuh kita sama ada PKR, DAP, PAS atau parti pembangkang lain,” katanya. 

No comments:

Post a Comment