Pages

12/24/10

BENARKAH MALAYSIA LAYAK KE PIALA DUNIA 2022 ?

‘Satu Malaya’ dah tahu hasil Simposium Bolasepak FAM minggu lalu. Dengan langkah yang sungguh berani FAM mengumumkan sasaran untuk Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Dunia iaitu tahun 2022. Media massa pula telah menjalankan peranannya dengan berkesan dalam mengetengahkan perkembangan ini ke khalayak masyarakat. Segalanya kini kelihatan seperti ’sudah sedia’ untuk dihadapi.
Namun begitu, elok direnung sedikit analisis tentang tahun 2022, iaitu sasaran yang telah ditetapkan itu. Berdasarkan perkiraan mudah, tahun 2022 itu adalah satu garis masa seperti berikut :
  • 65 tahun semenjak Malaysia merdeka
  • 36 tahun selepas Korea Selatan layak ke Piala Dunia 1986, Mexico
  • 31 tahun setelah Allahyarham Mokhtar Dahari meninggal dunia, 1991
  • 20 tahun selepas Senegal yang pernah bermain dalam Pestabola Merdeka, layak ke Piala Dunia 2002, Korea-Jepun
  • 15 tahun dari sekarang, dikira mulai 2007
  • 2 tahun selepas mencapai Wawasan 2020
Melihat angka-angka itu, terasa sungguh betapa ketinggalannya kita. Akan tetapi satu-satunya frasa yang rasanya boleh mungkin melupakan sejenak rasa ketinggalan itu ialah ‘better late than never’.
Itulah keberanian yang ditampilkan oleh FAM. Sekurang-kurangnya, berani untuk meletakkan sasaran walaupun belum dapat meyakinkan majoriti rakyat Malaysia.
nuffnang_bid = "abce3f9c2f8cfbcd1febab9f29b4727b";



#666666;">Namun ada sebabnya mengapa sasaran itu belum dapat diyakini oleh segenap lapisan peminat bolasepak tempatan. Sebelum pada ini, telah banyak kali FAM meletakkan harapannya kepada skuad kebangsaan dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa. Untuk kesekian kalinya juga, boleh dikatakan tiada perubahan dalam pencapaian pasukan bolasepak negara.
Berdasarkan senario tersebut, harus hasil simposium yang telah diumumkan itu hanya menjadi satu bahan berita yang diterima oleh masyarakat sebagai satu ’khabar angin’ selagi kesungguhannya belum dapat dibuktikan. Pelbagai sorotan persoalan dikupas baik dalam perbualan kosong di kedai kopi atau diskusi serius kumpulan profesional.
Persoalan Pertama
Justifikasi yang diberikan oleh FAM bahawa Malaysia akan layak ke Piala Dunia 2022 ialah kerana tempohnya yang memakan masa 15 tahun (dari sekarang). Tempoh 15 tahun itu dikatakan relevan kerana kuasa bolasepak Asia seperti Korea dan Jepun mengambil masa 15 tahun untuk mengatur perancangan sebelum layak ke pusingan akhir Piala Dunia mereka yang pertama. Juga, Korea dan Jepun dikatakan menetapkan tempoh selama 15 tahun bermula dari penyertaan pertama mereka untuk mengatur strategi dinobatkan sebagai juara dunia.
Persoalannya, setakat pada tahun 2007 ini adakah tahap bolasepak Malaysia sudah diakui setaraf dengan prestasi yang dicapai Korea dan Jepun pada ketika 15 tahun sebelum negara-negara itu layak ke Piala Dunia mereka yang pertama ?
Persoalan Kedua
Sehingga hari ini, Liga Malaysia masih belum menunjukkan wujudnya satu sistem yang konsisten dalam halatuju peningkatan prestasi bolasepak. Contoh, pada satu masa, pemain impot diambil dalam jumlah yang ramai dan kemudiannya dikurangkan. Apabila jumlah pemain impot dikurangkan pula, pemain tempatan tidak kompetetif kerana hanya bersaing sesama sendiri.
Persoalannya, berdasarkan tempoh sasaran 15 tahun dari sekarang, adakah Liga M diakui setaraf dari segi mutunya, kompetensi dan konsistensi dengan Liga Korea dan Jepun pada masa 15 tahun sebelum layak ke Piala Dunia pertama mereka ?
Persoalan Ketiga
Pelbagai promosi telah diatur oleh FAM dengan bermulanya musim Liga M tahun 2007. Sayangnya, stadium tidak juga penuh. Siaran langsung di televisyen masih tenggelam dengan program hiburan.
Siaran langsung bolasepak Liga Malaysia bukan setakat tewas kepada EPL yang disiarkan di ESPN, malah tewas teruk jika dibandingkan dengan program realiti seperti Mentor atau Akademi Fantasia ! Hakikatnya, penonton atau penyokong tempatan masih belum mengalu-alukan bolasepak Malaysia.
Terus terang. Saya juga tidak mengikuti perkembangan Liga M sepenuhnya. Pun begitu saya tidak juga beralih untuk menyanjungi Liga Inggeris atau EPL. Kepada golongan yang mengikuti perkembangan EPL dengan penuh kesungguhan dan inspirasi, kenyataan ini tidak bermaksud memperlekehkan minat tuan tuan.
Hakikatnya EPL bukan milik kita. Saya rasa bodoh menyanjung nama-nama kelab yang gah di sana. Rakan saya semasa belajar di UK, menceritakan pengalaman menonton perlawanan bolasepak di Old Trafford selaku penyokong Manchester United yang setia. Sayangnya disindir oleh seorang Inggeris ..
‘you’re not English, how can you proudly cheering with us?’
Persoalan Keempat
Sebagaimana selalunya, FAM menamakan barisan yang dibentuk untuk mewakili negara ke sesuatu kejohanan utama. Sebelum pada ini, kita pernah mendengar skuad Pra Olimpik (generai Khalid Jamlus dan V. Saravanan). Kemudiannya, skuad bawah 23 tahun (generasi Indra Putra dan Norhafiz Zamani). Barisan ini dibentuk seawal usia masih di bangku sekolah.
Kini untuk membawa cabaran Malaysia ke Piala Dunia 2022, FAM menamakan skuad bawah 14 tahun sebagai sasaran. Kalau tidak silap, mereka ini kini berada di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Berapa ramaikah keanggotaan skuad 14 tahun sekarang ? 23 orang, sepertimana jumlah pemain sepasukan yang biasa ditetapkan ?
Persoalannya, mengapa tidak 150 orang ? Agar bakal wira kebanggaan Malaysia itu benar-benar dapat dicungkil dan dicarigali di kalangan adik-adik kita agar yang benar-benar layak memartabatkan maruah Malaysia dapat dipilih seteliti telitinya ?
Sekali lagi, mengambil Jepun sebagai perbandingan. Semasa dalam Darjah 3, saya masih ingat lagi majalah Dunia Sukan menyiarkan gambar kanak-kanak Jepun pada usia tadika sedang menimbang bola di atas padang. Berapa ramai yang ada dalam gambar itu ? Penuh separuh padang bolasepak !
Kesimpulannya, mereka itulah yang kita lihat menyarung jersi biru kebangsaan Jepun dengan bermain dengan penuh rasa bangga dalam Piala Dunia sekitar 12 tahun kebelakangan.
Persoalan Kelima
Di akhir simposium itu, FAM memberitahu media bahawa bukan setakat tanggungjawab mereka sahaja dalam memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia sebaliknya turut sama melibatkan peringkat akar umbi di negeri-negeri ?
Ada nada yang seakan sedikit kurang menyakinkan dalam kenyataan itu. Sejauhmanakah persatuan bolasepak negeri memberikan komitmen terhadap sasaran FAM ini. Mengapa media tidak meminta ulasan dari kalangan wakil persatuan negeri ataupun pandangan dari tokoh-tokoh bekas jaguh bolasepak negara yang turut hadir pada masa itu ?
Sedikit sebanyak timbul kekhuatiran bahawa belum ada satu bentuk kerjasama yang dipersetujui di kalangan semua pihak yang menyertai simposium itu. Lainlah misalnya ulasan yang diberikan oleh FAM itu berbunyi :
‘FAM akan bertanggungjawab penuh memastikan sasaran itu tercapai dan semua persatuan negeri juga akan sama-sama bertanggunjawab menjadikan sasaran itu satu kejayaan kepada seluruh rakyat Malaysia’
Nah. Bukankah itu lebih bernada patriotik ?
Persoalan Keenam
Pujian sesungguhnya buat FAM di atas sasaran yang berani itu. Namun begitu, di kalangan masyarakat mungkin belum dapat menerimanya kerana satu kesimpulan sahaja iaitusasaran yang berani belum tentu sasaran yang realistik.
mokhtar-maradona.jpg
Gambar : Allahyarham Mokhtar dan Maradona – perlawanan persahabatan Selangor dan belia Argentina, akhir 1970-an
Sekadar imbasan, bukan hanya saya malah majoriti rakyat Malaysia pasti terlalu rindukan masa-masa silam ketika martabat Malaysia diangkat oleh Allahyarham Mokhtar Dahari, Dato’ Soh Chin Aun, Santokh Singh dan R. Arumugam satu masa dahulu.
Pada tahun-tahun 1980-an, saya masih budak kecil tetapi suasana gegak gempitanya Stadium Merdeka semasa Malaysia beraksi dalam Pestabola Merdeka tidak akan hilang dari kenangan. Pentas antarabangsa milik kita yang sudah cukup baik untuk mencarigali bakat Malaysia ke Piala Dunia tapi baru kini FAM memberikan kita sasaran yang cukup berani.
Pandangan
Cukup dengan segala imbasan dan persoalan. Apa pun, pokoknya FAM telah memberikan ’janji’nya kepada rakyat Malaysia. Sebagai menghormati keberanian itu, kita berikan kepercayaan dan terserah kepada kebijaksanaan golongan profesional dalam sukan bolasepak untuk mengikhtiarkan perancangan dan strategi dalam mencapai hasrat Piala Dunia 2022.
Namun atas rasa tanggungjawab, sebagaimana FAM mengatakan bahawa ia bukan tanggungjawab mereka semata-mata maka pihak lain baik individu atau organisasi perlu melakukan sesuatu (malah kerana rasa tanggungjawab itu, artikel ini diutuskan). Kerana inilah masanya. Bukan dua atau tiga tahun lagi, apatah lagi kalau hanya tinggal 5 tahun sebelum 2022.
15 tahun tidak lama. Sebagaimana seorang guru melihat anak murid kecilnya sudah besar dan layak menduduki PMR. Sekejap sahaja. Di pihak FAM dan golongan profesional, persiapan strategi dan teknikal adalah urusan mereka. Di pihak lain, sokongan yang paling padu mesti diberikan sepenuhnya.
Tidak bolehkah RTM, TV3, NTV7, 8TV, TV9 dan Astro menyediakan slot khas yang menyorot tentang perkembangan semasa, persiapan, latihan, perlawanan ujian, pencapaian dan sebagainya dalam satu program khas setiap minggu ?
Program khas itu tidak semestinya sebagaimana sesi pemilihan My Team yang berupa rancangan realiti tetapi samalah sebagaimana siri-siri tentang persiapan negara-negara lain yang bakal bertanding di Piala Dunia setiap 4 tahun itu.
Tidak perlu terlalu mendedahkan para pemain yang masih kecil nanti memberikan tekanan yang berat pula. Tetapi tumpukan lebih kepada hasil dan keputusan. Sedutan perlawanan persahabatan. Siaran langsung atau rakaman perlawanan ujian. Pandangan pegawai pasukan. Temubual pegawai FAM dan negeri. Ulasan bekas jaguh tempatan. Perancangan latihan. Kuiz penonton. Segala bentuk cara yang benar-benar sesuai menarik minat penonton !
Selain itu, badan-badan korporat ternama seperti Air Asia, tidak teringinkah menaja pasukan kebangsaan 14 tahun ini bertanding dengan pasukan-pasukan seusia dari negara-negara yang telah ’pasti’ akan bertanding di Piala Dunia 2022 kelak ?
Diberikan dua sebab tersirat atas cadangan ini iaitu ; agar mereka benar-benar tahu betapa seriusnya peranan mereka dalam mencapai sasaran ini dan ; jika mereka layak bermain di Piala Dunia 2022 nanti maka setidak-tidaknya satu atau dua muka pemain negara lain telah pun mereka kenali, kerana mereka pernah bermain bersama pada usia 14 tahun dahulu.
Malah selain dari nama-nama agensi dan badan korporat yang dinyatakan di atas, tak kan lah tidak ada badan-badan korporat atau NGO lain yang ingin memberikan pandangan bernas ’di luar kotak’ demi cita cita yang sungguh murni ini ?
Paling kemuncak di sini, jangan lupa bahawa 2022 adalah 2 tahun selepas Wawasan 2020 di mana Malaysia telah maju dalam acuannya yang tersendiri. Kalau benar pemain-pemain Malaysia melangkah masuk ke padang pada Piala Dunia itu, sesungguhnya itulah hadiah yang paling berharga untuk setiap seorang yang berbangga mengaku rakyat Malaysia.
Apa pun, syabas FAM dan selamat berjaya. Di sebalik gusarnya keyakinan penyokong bolasepak tempatan namum pastinya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakangmu, andai semua usaha ini benar-benar dibuktikan dengan serius. Semoga Malaysia berjaya.

No comments:

Post a Comment