Pages

3/13/11

Ribuan penduduk diancam radiasi

BOT bantuan memadam  api yang marak di pelantar minyak di bandar Ichihara, Chiba.
Kedudukan pulau Honshu berganjak 2.4 meter
 

TOKYO: Gempa bumi kuat yang melanda timur laut Jepun kelmarin, bukan hanya meragut sekurang-kurangnya 1,700 nyawa, manakala 10,000 lagi dikhuatiri hilang, malah meninggalkan kemusnahan besar termasuk ancaman radiasi di bahagian utara negara itu berikutan letupan di salah satu reaktornya selain impak fizikal yang menyaksikan peralihan paksi bumi kira-kira 25 sentimeter.
Anggaran kerugian AS$15 bilion (RM52.5 bilion). Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter kelmarin yang juga kelima terkuat di dunia itu menyebabkan kedudukan Pulau Honshu yang merupakan pulau utama Jepun itu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer – impak yang menurut saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi Sumatera, sebelum ini.

Jepun mengerahkan lebih 50,000 askar, manakala anggota mencari dan penyelamat melakukan tugas mencari mangsa selepas gempa yang berpusat di pantai Pulau Honshu yang juga kawasan berpenduduk paling padat di Jepun dengan kemusnahan sekurang-kurangnya 3,600 rumah, dilaporkan. 

Bagaimanapun, lebih 30 jam selepas kejadian itu, Perdana Menteri, Naoto Kan, berkata anggota penyelamat masih belum tiba di kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu. 

Seramai 215,000 penduduk di kawasan timur lautnya yang terjejas teruk itu, berlindung di penempatan sementara ketika sekurang-kurangnya 5.6 juta penduduk pula terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik dan air bersih. 
Semua talian telefon terputus ketika ramai penduduknya yang terselamat, beratur panjang mendapatkan bantuan. 

Sebanyak 400 mayat ditemui di bandar Rikuzentakata, wilayah Iwate yang dilaporkan musnah dan tenggelam sepenuhnya, manakala di bandar Sendai, sekurang-kurangnya 300 mayat turut ditemui. 

Agensi berita Kyodo melaporkan, sebuah kapal yang membawa sekurang-kurangnya 100 penumpang, dihanyutkan tsunami dan nasib mereka belum diketahui hingga sekarang. 

Ketika harapan menemui lebih ramai mangsa masih hidup kian tipis, Jepun dikejutkan dengan kejadian kebocoran radioaktif di salah reaktor nuklearnya di Fukushima, utara Tokyo akibat letupan di bumbung loji terbabit berikutan gempa bumi kuat. 

Perkembangan itu meningkatkan ancaman radiasi jika reaktor itu terbakar dan memaksa kerajaan memindahkan penduduk yang tinggal di lingkungan 20 kilometer dari reaktor Daichi 1 berusia 40 tahun itu. 

Pengumuman oleh Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu dibuat ketika rakaman televisyen memaparkan imej kepulan wap panas dari loji itu yang memaksa syarikat pengendalinya, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berusaha mengurangkan tekanan dalam teras reaktor berkenaan. 

Sementara itu, kesan tsunami turut dirasai di beberapa negara sekitar kawasan Pasifik dan Amerika Syarikat, dengan berjuta-juta penduduk terpaksa mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi selepas menerima amaran tsunami. 

Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh, manakala lima lagi dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan ombak besar di Cresent City California.
WANITA UMNO Perak mengadakan perhimpunan aman  mendesak Anwar menyerahkan DNA bagi melancarkan perbicaraan kes liwat terhadapnya di Batu Gajah, semalam.

WANITA UMNO Perak mengadakan perhimpunan aman mendesak Anwar menyerahkan DNA bagi melancarkan perbicaraan kes liwat terhadapnya di Batu Gajah, semalam.
1,000 sertai demonstrasi gesa tamat spekulasi ‘Lelaki Y’ 

BATU GAJAH: Seramai 1,000 ahli Wanita UMNO Perak mengadakan perhimpunan aman di Arena Square, di sini semalam bagi mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan profil DNA untuk melancarkan proses perunda-ngan, sekali gus memberi penjelasan sebenar kepada rakyat mengenai kes liwat dihadapinya.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Hamidah Osman, berkata penyerahan spesimen daripada badan ketua pembangkang itu akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai identiti sebenar profil DNA lelaki tidak dikenali dinamakan ‘Lelaki Y’ yang didedahkan pada prosiding perbicaraan kes itu sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, perhimpunan seumpama itu diteruskan ke daerah lain di seluruh Perak bagi mendapatkan suara ramai dalam mendesak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyerahkan DNA. 

“Sudah tiba masa Anwar menjelaskan perkara sebenar dengan menyerahkan spesimen badannya untuk menamatkan sebarang spekulasi yang timbul daripada kes itu. 
Perjalanan proses mahkamah bukan saja membabitkan Anwar atau Mohd Saiful Bukhari Azlan, tetapi perkara yang ingin rakyat tahu,” katanya. 

Hamidah berkata, Anwar seharusnya berani tampil ke depan dengan secara sukarela menyerahkan spesimen DNA yang diperlukan, sekali gus tidak terus mengelirukan rakyat. 

Loji Nuklear Bocor!


Foto
Angin dikhuatiri burukkan lagi kes kebocoran Fukushima

TOKYO: Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Jepun memberi amaran, angin di loji nuklear Daiichi 1 Fukushima yang mengalami kebocoran radioaktif, bertiup dari selatan dan boleh menjejaskan kesihatan penduduk di bahagian utara negara itu.

Agensi perkhidmatan kaji cuaca itu menyatakan, arah angin mungkin berubah dalam tempoh terdekat dan dijangka bertiup dari barat menghala ke laut.
“Arah angin adalah faktor utama yang akan menentukan sejauh mana kerosakan alam sekitar berpunca daripada kebocoran yang berlaku, selepas Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami setinggi 10 meter semalam,” kata seorang pegawai agensi itu.

Pegawai berkenaan berkata pihaknya meramalkan cuaca sepanjang hari ini cerah, manakala angin bertiup dari arah barat sebelum menghala ke selatan.

“Kami akan terus memantau arah angin untuk membuat penilaian lanjut terhadap kesan kebocoran daripada loji berkenaan,” katanya.

Walaupun kebocoran radiasi ini sudah dijangka, profesor di Universiti Tokyo, Naoto Sekimura berkata bencana radioaktif yang besar tidak mungkin berlaku. 
“Kejadian seperti Chernobyl adalah mustahil di reaktor air ringan ini. 
Kehilangan penyejuk bermaksud suhu akan meningkat tetapi turut menghentikan loji.

“Malah, dalam senario yang teruk kebocoran radioaktif bermakna kerosakan peralatan tetapi bukan letupan besar. Jika pengedaran dilakukan dengan berhati-hati, kebocoran hanya sedikit dan bukannya melebihi jarak lingkungan tiga kilometer,” katanya.

Agensi berita Kyodo melaporkan pihak berkuasa mula memindahkan 20,000 penduduk dari zon sekitar loji Daini. 

Perdana Menteri, Naoto Kan yang membuat tinjauan udara di loji itu menggunakan helikopter sebelum ini mengarahkan penduduk dalam lingkungan 10 kilometer dari sebuah lagi loji, Daiichi mengosongkan kawasan berkenaan.

Ketua Setiausaha Kabinet Yukio Edano berkata jumlah kebocoran radiasi mungkin kecil.

“Mungkin material radioaktif di loji reaktor bocor di luar tetapi jumlahnya dijangka kecil dan angin meniup ke arah laut dapat membantu,” katanya pada sidang akhbar

Peminat Bieber serbu hotel


Justin Bieber
Justin Bieber
LONDON: Demam Biebermania dilaporkan melanda Liverpool kelmarin ketika penyanyi remaja Justin Bieber yang dalam jelajah dunia tiba di bandar raya itu untuk mengadakan persembahan di Echo Arena, semalam. 

Beratus-ratus peminat Bieber yang ‘histeria’ berkumpul di Hotel Hard Days Night untuk melihat penyanyi itu dengan lebih dekat sehingga menyebabkan Bieber terperangkap di bilik hotelnya.
Sekurang-kurangnya 50 anggota polis dikerah untuk mengawal keadaan, memaksa pihak berkuasa menutup Jalan North John dan membenarkan ambulans tiba untuk membawa berpuluh peminat yang pengsan.
Pihak polis terpaksa bekerja sama dengan pengurusan hotel dan pasukan pengawal peribadi Bieber untuk memastikan penyanyi berusia 17 tahun itu, peminat dan tetamu hotel lain dalam keadaan selamat. 

Sementara itu, Bieber dalam kiriman Twitter menyifatkan keadaan berkenaan amat menakutkan di mana ratusan atau mungkin ribuan peminat beliau memenuhi luar hotel terbabit. 

Sekurang-kurangnya dua gadis remaja dirawat di Hospital Alder Hey selepas pengsan dalam lautan manusia berkenaan, lapor Daily Telegraph.