Pages

3/17/11

Bersesak dalam kereta elak mati kesejukan

Lima belas rakyat Malaysia, termasuk enam kanak-kanak, terpaksa bersesak-sesak dalam dua buah kereta kecil bagi mengelak cuaca sejuk di Morioka, Iwate, selepas gempa bumi dan tsunami melanda wilayah di timur laut Jepun itu.
Detik cemas itu berlaku selepas bekalan elektrik, air dan hubungan komunikasi, termasuk internet dan talian telefon terputus sejurus gempa bumi dan tsunami itu berlaku Jumaat lalu, mengorbankan lebih 10,000 nyawa.
Pelajar kejuruteraan kimia dari Universiti Iwate, Mohd Nasrun Mohd Najib, 23, yang turut berada dalam salah sebuah kereta terbabit berkata, mereka terpaksa berbuat demikian untuk menyelamatkan diri daripada mati kesejukan dan kemungkinan berlaku gempa susulan.

“Kami tiada pilihan, kecuali berada dalam kereta. Bekalan elektrik juga terputus menyebabkan alat pemanas tidak dapat digunakan.

“Lagipun hanya radio dalam kereta yang boleh digunakan untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai gempa bumi dan tsunami itu. Ketika itu, semua talian telefon termasuk internet terjejas dan tidak dapat digunakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Nasrun berkata semua mereka bertahan di dalam dua kereta itu selama beberapa jam, sebelum terpaksa pulang ke rumah selepas kehabisan minyak dan terpaksa bermalam menggunakan beberapa batang lilin. 
“Saya tidak tahu nak fikir apa ketika itu, takut, sejuk dan teringat kepada keluarga semua bercampur baur,” katanya mengakui sedih kerana terpaksa melihat tiga anak pemilik rumah yang disewanya yang berusia tiga tahun terpaksa menahan cuaca sejuk dengan menggunakan selimut.

Nasrun adalah antara 544 rakyat Malaysia yang berada di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami seperti di Miyagi, Fukushima, Iwate, Tochigi, Ibaraki, Chiba dan Saitama.

Ketika dihubungi, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu bersama 16 rakyat Malaysia lain dalam perjalanan dari Iwate ke Tokyo menaiki bas yang disewa khas Kedutaan Malaysia di Jepun, yang difahamkan membawa keluar rakyat Malaysia dari wilayah terjejas selepas ancaman radiasi nuklear semakin meningkat di Fukushima.

Reaktor nuklear semakin panas, 140,000 penduduk tak boleh keluar rumah

Foto
Jepun belum dapat menyelesaikan masalah loji nuklearnya di Fukushima selepas pekerja diarahkan meninggalkan seketika tempat itu semalam kerana tahap radiasi meningkat.
Pihak berkuasa berkata, tahap radiasi di ibu negara itu 10 kali tinggi daripada normal tetapi tidak membahayakan kesihatan manusia di bandar yang mempunyai 13 juta penduduk.
Pencemaran radiasi dilaporkan melanda Tokyo sejak 24 jam lalu meskipun pada tahap rendah dan kebakaran di loji nuklear berkenaan awal daripada itu meningkatkan lagi kebimbangan, lapor agensi berita Kyodo.

Pakar nuklear dan ahli akademik berkata, penyelesaian sedang dicari untuk mengawal kebocoran radiasi di loji Daiichi, wilayah Fukushima bagi mengelakkannya menjadi bencana nuklear paling teruk dalam sejarah. 

“Ini adalah mimpi buruk yang berlaku perlahan-lahan,” kata pakar penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Institut Teknologi Massachusetts, Dr Thomas Neff.

Pekerja loji itu cuba membina laluan bagi membolehkan jentera bomba masuk ke rektor nombor 4 yang terbakar. Stesen televisyen NHK menunjukkan asap atau wap kelihatan naik di kemudahan itu kira-kira jam 1 tengah hari (waktu tempatan). 
Bimbang dengan krisis yang dihadapi pekerja loji yang bekerja termasuk keletihan selepas bekerja berhari-hari sejak gempa bumi melanda, pihak berkuasa mengarahkan 750 pekerja untuk pulang dan hanya tinggal 50.

Mereka yang tinggal diarahkan keluar sejam selepas itu kerana tahap radiasi terlalu tinggi tetapi kemudian dibenarkan kembali, kata pegawai rasmi.

Pihak berkuasa menghabiskan beberapa hari terdesak untuk mengelakkan air yang digunakan untuk menyejukkan radioaktif daripada mendidih yang boleh menyebabkan kepanasan dan membebaskan bahan radiasi berbahaya di atmosfera.

Tahap 400 millisievert sejam direkodkan berdekatan rektor nombor 4, kata kerajaan. Pendedahan kepada lebih 100 millisieverts setahun boleh membawa kepada kanser, kata Persatuan Nuklear Dunia.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan meminta 140,000 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.
Jepun bimbang kebocoran serius bermakna ia akan sama dengan insiden nuklear paling teruk sejak Chernobyl di Ukraine pada 1986. 

Sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jumaat lalu, empat letupan berlaku di loji nuklear yang rosak itu, terbaru letupan di reaktor nombor 2 dan 4.

Angka kematian rasmi kerana gempa dan tsunami mencecah 4,000 manakala lebih 7,000 lagi senaraikan sebagai hilang.

Salji menjejaskan lagi keadaan ribuan mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa dan tsunami kerana terpaksa bermalam dengan kesejukan akibat bekalan elektrik terputus.

Kebimbangan terus menyelubungi kerana radiasi dikhuatiri sampai kepada penduduk di barat laut Amerika Syarikat dan Kanada.

Pihak berkuasa memberi amaran orang ramai yang terdedah kepada radiasi supaya mengambil pottasium iodin bagi melindungi daripada kanser.

Radiasi nuklear menjadi isu sensitif bagi Jepun selepas kejadian paling teruk melanda negara itu ketika pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945. 

Malaysia belum bersedia bina loji nuklear

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia masih belum bersedia untuk membina dan mengendalikan loji tenaga nuklear. 

Malah, katanya, ketika pentadbirannya, Kabinet pernah membuat keputusan memberi tumpuan kepada hanya empat sumber untuk menjana tenaga iaitu minyak, gas, arang batu dan air atau tenaga hidro, manakala nuklear bukan satu
pilihan kerajaan ketika itu. "Masih banyak yang kita belum tahu mengenai teknologi lakuran (fusion) kerana sebaik saja ia menjadi radioaktif, kita akan hilang kawalan ke atasnya dan kita juga tidak mengetahui dengan cukup kesan radiasi.

"Selain itu, kita juga tidak tahu macam mana hendak menghapuskan bahan buangan radioaktif dan jika makin banyak negara membina loji tenaga nuklear, lebih banyak bahan buangan terpaksa dilupuskan," katanya selepas merasmikan Bangunan Lestari Kumpulan Emkay, di sini, semalam. 

Selain itu, Dr Mahathir berkata, negara juga pernah mempunyai ‘pengalaman buruk’ mengenai nuklear, namun enggan mengulas lanjut perkara itu. 

"Saya tidak pasti sama ada orang ramai menyedari perkara ini atau tidak tetapi kita sudah ada ‘pengalaman buruk' dengan nuklear...kita tidak tahu bagaimana hendak menghapuskan bahan nuklear itu," katanya. 
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan rancangan membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga. 
Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian. 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, berkata kerajaan akan mengambil perunding antarabangsa untuk menilai lokasi dan keperluan membina loji berkenaan. 

Difahamkan, Malaysia sedang menimbang tiga jenis teknologi reaktor nuklear daripada tujuh negara, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Russia dan China, untuk membina loji jana kuasa nuklear pertama negara pada 2021. 

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Daud Mohamad, dilaporkan berkata, teknologi reaktor nuklear terbabit ialah teknologi reaktor air tertekan (PWR), reaktor air berat (PHWR) dan reaktor air didihan (BWR). 


More information CLICK HERE

20 pelajar asrama penuh dibuang jentik dahi junior

WARIS pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu tunjukkan surat pemberhentian  yang dihantar   kepada mereka, semalam.
Seramai 20 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, di sini dibuang sekolah berkuat kuasa Khamis lalu selepas didapati bersalah membuli dengan menjentik dahi seorang pelajar Tingkatan Empat beramai-ramai pada 25 Februari lalu.

Mereka diarahkan pulang pada petang hari kejadian, sebelum pihak sekolah mengambil keputusan membuang semua pelajar terbabit selepas mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Khamis lalu.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdullah Saat, berkata pelajar terbabit boleh mengemukakan rayuan melalui Bahagian Pendaftar Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dalam tempoh sebulan.
“Bagaimanapun dalam kes ini, ia akan dirujuk kepada Kementerian Pelajaran kerana ia berstatus sekolah asrama penuh. Jika sekolah biasa cukup sekadar Jabatan Pelajaran Negeri (membuat keputusan). Namun, keputusan membuang pelajar atas kesalahan disiplin adalah hak sekolah selepas meneliti kesalahan itu adalah berat dan mengikut peraturan yang ditetapkan,” kata ketika dihubungi.

Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan tidak puas hati ibu bapa dan penjaga yang menyifatkan ia terlalu drastik dan tidak dimaklumkan kepada mereka terlebih dulu hingga boleh menjejaskan persiapan anak mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Oktober ini. 

Walaupun mengakui perlakuan itu melanggar disiplin, mereka beranggapan pihak sekolah sepatutnya memberi peluang kedua kerana ia membabitkan masa depan pelajar terbabit. 

Seorang bapa, Jasni Mohd Noor, 44, berkata pihak sekolah seharusnya memberi peluang kepada semua pelajar dan mengenakan hukuman lain yang tidak membabitkan tindakan buang sekolah kerana ia boleh menjejaskan persediaan mereka menghadapi peperiksaan SPM nanti. 
Bekas guru itu berkata, pihak sekolah juga tidak memaklumkan kepada penjaga mengenai tindakan itu dan hanya mengarahkan anak mereka keluar dari asrama pada 25 Februari lalu. 

“Saya tahu anak saya bersalah, tetapi jika boleh berilah mereka peluang sebab sukar bagi kami untuk mencari sekolah yang sesuai kerana mereka sudah memasuki aliran Sains Teknikal sejak Tingkatan Empat. Mereka akan menghadapi masalah jika bertukar ke sekolah lain yang kebanyakannya tidak mempunyai aliran itu. Saya bimbang mereka tidak dapat memberi tumpuan,” katanya semalam.

Seorang lagi bapa, Mohd Azami Abdul Majid, 45, berkata pihak sekolah sepatutnya boleh bertolak ansur daripada mengambil tindakan yang terlalu keras.

Beliau mendakwa hanya mengetahui tindakan itu melalui surat yang dihantar menerusi pos laju ke rumahnya oleh pihak sekolah pada Ahad lalu. 

“Tiada laporan polis dibuat dan tiada sebarang laporan doktor berhubung kejadian itu. Selain itu, sekolah tidak memaklumkan kepada ibu bapa apabila pelajar terbabit diarahkan keluar asrama, sebaliknya hanya dihubungi anak sendiri,” katanya.