Pages

3/17/11

Bersesak dalam kereta elak mati kesejukan

Lima belas rakyat Malaysia, termasuk enam kanak-kanak, terpaksa bersesak-sesak dalam dua buah kereta kecil bagi mengelak cuaca sejuk di Morioka, Iwate, selepas gempa bumi dan tsunami melanda wilayah di timur laut Jepun itu.
Detik cemas itu berlaku selepas bekalan elektrik, air dan hubungan komunikasi, termasuk internet dan talian telefon terputus sejurus gempa bumi dan tsunami itu berlaku Jumaat lalu, mengorbankan lebih 10,000 nyawa.
Pelajar kejuruteraan kimia dari Universiti Iwate, Mohd Nasrun Mohd Najib, 23, yang turut berada dalam salah sebuah kereta terbabit berkata, mereka terpaksa berbuat demikian untuk menyelamatkan diri daripada mati kesejukan dan kemungkinan berlaku gempa susulan.

“Kami tiada pilihan, kecuali berada dalam kereta. Bekalan elektrik juga terputus menyebabkan alat pemanas tidak dapat digunakan.

“Lagipun hanya radio dalam kereta yang boleh digunakan untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai gempa bumi dan tsunami itu. Ketika itu, semua talian telefon termasuk internet terjejas dan tidak dapat digunakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Nasrun berkata semua mereka bertahan di dalam dua kereta itu selama beberapa jam, sebelum terpaksa pulang ke rumah selepas kehabisan minyak dan terpaksa bermalam menggunakan beberapa batang lilin. 
“Saya tidak tahu nak fikir apa ketika itu, takut, sejuk dan teringat kepada keluarga semua bercampur baur,” katanya mengakui sedih kerana terpaksa melihat tiga anak pemilik rumah yang disewanya yang berusia tiga tahun terpaksa menahan cuaca sejuk dengan menggunakan selimut.

Nasrun adalah antara 544 rakyat Malaysia yang berada di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami seperti di Miyagi, Fukushima, Iwate, Tochigi, Ibaraki, Chiba dan Saitama.

Ketika dihubungi, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu bersama 16 rakyat Malaysia lain dalam perjalanan dari Iwate ke Tokyo menaiki bas yang disewa khas Kedutaan Malaysia di Jepun, yang difahamkan membawa keluar rakyat Malaysia dari wilayah terjejas selepas ancaman radiasi nuklear semakin meningkat di Fukushima.

No comments:

Post a Comment