Pages

3/17/11

Malaysia belum bersedia bina loji nuklear

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia masih belum bersedia untuk membina dan mengendalikan loji tenaga nuklear. 

Malah, katanya, ketika pentadbirannya, Kabinet pernah membuat keputusan memberi tumpuan kepada hanya empat sumber untuk menjana tenaga iaitu minyak, gas, arang batu dan air atau tenaga hidro, manakala nuklear bukan satu
pilihan kerajaan ketika itu. "Masih banyak yang kita belum tahu mengenai teknologi lakuran (fusion) kerana sebaik saja ia menjadi radioaktif, kita akan hilang kawalan ke atasnya dan kita juga tidak mengetahui dengan cukup kesan radiasi.

"Selain itu, kita juga tidak tahu macam mana hendak menghapuskan bahan buangan radioaktif dan jika makin banyak negara membina loji tenaga nuklear, lebih banyak bahan buangan terpaksa dilupuskan," katanya selepas merasmikan Bangunan Lestari Kumpulan Emkay, di sini, semalam. 

Selain itu, Dr Mahathir berkata, negara juga pernah mempunyai ‘pengalaman buruk’ mengenai nuklear, namun enggan mengulas lanjut perkara itu. 

"Saya tidak pasti sama ada orang ramai menyedari perkara ini atau tidak tetapi kita sudah ada ‘pengalaman buruk' dengan nuklear...kita tidak tahu bagaimana hendak menghapuskan bahan nuklear itu," katanya. 
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan rancangan membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga. 
Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian. 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, berkata kerajaan akan mengambil perunding antarabangsa untuk menilai lokasi dan keperluan membina loji berkenaan. 

Difahamkan, Malaysia sedang menimbang tiga jenis teknologi reaktor nuklear daripada tujuh negara, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Russia dan China, untuk membina loji jana kuasa nuklear pertama negara pada 2021. 

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Daud Mohamad, dilaporkan berkata, teknologi reaktor nuklear terbabit ialah teknologi reaktor air tertekan (PWR), reaktor air berat (PHWR) dan reaktor air didihan (BWR). 


More information CLICK HERE

No comments:

Post a Comment