Pages

3/18/11

Ahmad Dhani pula diancam bom buku

Ahmad Dhani
Ahmad Dhani


Dipercayai penyanyi bersikap anti militan 

Buku berisi bom dihantar kepada pemuzik terkenal Indonesia, Ahmad Dhani yang banyak mengeluarkan lagu anti militan, kata polis semalam, di sini.
“Ia dihantar ke kediaman Ahmad Dhani di Pondok Indah,” kata Ketua Polis Jakarta Selatan, Gatot Edi Pramono, kepada Jakarta Globe.
“Kami sudah musnahkan bom dengan bantuan skuad pemusnah,” katanya. Ia cubaan keempat selepas tiga bom dalam buku diterima di tiga lokasi berbeza Selasa lalu. 

Tajuk buku dihantar kepada Dhani ialah Militan Yahudi. Rumah dan studio Dhani terletak di Jalan Pinang Mas 2 di kawasan kediaman mewah Pondok Indah. Gatot berkata, bungkusan itu dihantar Selasa jam 1 petang. 

“Ia hanya dibuka hari ini (semalam). Pekerjanya curiga melihat sebuah buku dan sepucuk surat di dalamnya menyebabkan beliau menelefon polis,” katanya. 
Surat itu mengatakan buku itu dihantar oleh Alamsyah Muthar SoS di Jalan Darmaga 21, Bogor, Jawa Barat. 
Ahmad Dhani menjadi terkenal dengan kumpulan muziknya Dewa 19 pada awal 1990-an. Ketika ini beliau pemilik pengurusan artis RCM yang bertanggungjawab atas pelancaran kerjaya ramai penyanyi dan kumpulan muzik Indonesia. 

Beliau terkenal kerana pandangan kontroversinya atas beberapa isu termasuk agama dan khabar angin beliau separuh Yahudi dari sebelah ibunya. 

Bom dalam buku pertama dihantar kepada pengasas bersama Rangkaian Kebebasan Islam, Ulil Abshar Abdalla di Utan Kayu, Jakarta Timur. 

Namun pegawai polis yang cuba mematikan bom itu secara tidak sengaja meletupkannya, menyebabkan seorang anggota hilang sebelah tangan. Dua lagi pegawai hampir parah. 

Bungkusan kedua dialamatkan kepada Jeneral Gories Mere, bekas pegawai utama unit elit anti keganasan, Densus 88. 

Buku dihantar kepada Ulil dan Gories bertajuk, Mereka Berhak Dibunuh: Kerana Dosa Mereka kepada Islam dan Umatnya. 

Bom ketiga dihantar kepada Yapto Suryosumarno, dalam sebuah buku bertajuk Masih Adakah Pancasila?, kata jurucakap polis Jakarta, Baharuddin Jafar.

No comments:

Post a Comment