Pages

3/18/11

Pergerakan radioaktif rentasi Lautan Pasifik


 
 ANGGOTA keselamatan Jepun menjalankan  operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami  di   Sendai, semalam.

ANGGOTA keselamatan Jepun menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami di Sendai, semalam.

Pergerakan bahan radioaktif tahap rendah dari reaktor nuklear Jepun yang rosak akibat gempa dan tsunami minggu lalu kini merentasi Lautan Pasifik dan dijangka tiba di Amerika Syarikat hari ini serta mungkin menyeberangi Lautan Atlantik hingga Eropah.
Pertubuhan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBTO) dan pakar nuklear menjangka bahan radioaktif itu tiba lewat hari ini di selatan California dan meneruskan pergerakan menuju barat daya Amerika termasuk Nevada, Utah dan Arizona.
Namun, pakar berkenaan yang dipetik akhbar New York Times (NYT) berkata, bahan radiasi semakin terhakis dan lemah sepanjang perjalanannya di Pasifik menyebabkannya tidak mengancam kesihatan manusia. 

Agensi berkenaan yang mempunyai 60 stesen pemantau di seluruh dunia tidak mendedahkan tahap pencemaran radioaktif berkenaan tetapi ia dijangka tidak memberi masalah kesihatan yang serius. 

Stesen pemantau CTBTO berupaya menilai naik turun bahan radiasi di udara selain menggunakan jangkaan kaji cuaca serta komputer untuk merangka pergerakan radiasi mengikut arah angin. Agensi berkenaan membuat jangkaan bahan radioaktif loji nuklear Jepun itu dilepaskan secara berterusan hingga membentuk kepulan seperti asap. 

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Pertahanan Sweden, Lars-Erik De Geer, meramalkan bahan radiasi boleh tiba di Eropah dan dikesan di seluruh hemisfera utara, 
“Tahap pencemaran radioaktif rendah, jadi orang ramai tidak perlu risau. Ia tidak mengancam nyawa,” katanya ketika dihubungi di Stockholm. 

Satu laporan lagi menyatakan loji nuklear Jepun direka untuk mampu bertahan daripada gempa bumi pada tahap tujuh magnitud. 

Sementara itu, di Tokyo, helikopter tentera Jepun menjirus 30 tan air bagi menyejukkan loji nuklear Fukushima yang terlalu panas dikhuatiri boleh meletup. Loji itu terletak 240 kilometer ke utara ibu negara Jepun. 

Jurutera loji nuklear itu juga cuba menggunakan tenaga daripada sistem kabel elektrik untuk mengepam air yang diperlukan untuk menyejukkan dua reaktor dan batang bahan bakar yang dianggap sebagai berisiko besar melepaskan radioaktif ke udara. 

Tahap radiasi yang tinggi kelmarin menghalang helikopter menjatuhkan air ke reaktor nombor tiga tetapi cubaan terbaru berjaya dengan dua daripada empat air dijatuhkan mengenai sasaran. 

Pengendali loji menerangkan reaktor Unit 3 paling bahaya kerana ia adalah satu-satunya rektor menggunakan plutonium, bahan yang boleh menyebabkan barah walaupun terkena sedikit. 

Imej terbaru loji nuklear berkenaan menunjukkan kerosakan teruk pada beberapa bangunan selepas empat letupan dengan dua bangunan tinggal besi dan konkrit.

No comments:

Post a Comment