Pages

3/13/11

Atlit ’terlepas’ gegaran tsunami

  BOON Lim  antara empat atlit yang dikatakan berada dalam keadaan selamat di Jepun.
Skuad jalan kaki tiba di Jepun kelmarin untuk menyertai Jalan Kaki Asia
 

GEGARAN gempa bumi dan tsunami di Jepun tidak menjejaskan cabaran skuad jalan kaki negara yang tiba di negara berkenaan, kelmarin bagi menyertai Kejohanan 20 Kilometer Jalan Kaki Asia di Nomi City.
Rombongan kecil wakil negara difahamkan berada dalam keadaan selamat walaupun negara matahari terbit itu teruk dilanda malapetaka terburuk itu.
“Kami semua selamat dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan,” kata jurulatih skuad jalan kaki negara, V Subramaniam ketika dihubungi di Komatsu, Jepun semalam. 

Subramaniam adalah antara dua jurulatih yang mengiringi skuad jalan kaki negara diketuai pemenang emas Sukan SEA Laos 2009, Teoh Boon Lim, Lo Choon Siang, T Dhiban Raj dan Norliana Mohd Rusni menyertai kejohanan itu. 

Seorang lagi jurulatih yang mengiringi skuad berkenaan ialah R Mohan, sementara Abdul Aziz Abdul Manaff dari Institut Sukan Negara (ISN). 

“Ketika kejadian gempa bumi dan tsunami itu berlaku, kami berada di hotel penginapan. Namun, kami tidak merasai sebarang gegaran mungkin kerana kawasan ini jauh daripada tempat kejadian, kira-kira 700 kilometer. 
Kejohanan akan tetap diadakan mengikut jadual esok (hari ini) bermula jam 10 pagi membabitkan acara lelaki dan 12.10 tengahari acara wanita. Sementara itu, Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim, berkata kejohanan itu antara medan buat atlit untuk layak beraksi di Kejohanan Trek dan Padang Asia di Kobe, Julai ini dan Sukan SEA November ini.

No comments:

Post a Comment