Pages

3/15/11

Lagi amaran gegaran dikeluarkan..(bencana alam terbesar pernah aq dengar)..


Foto
PEJABAT Meteorologi Jepun (JMO) semalam mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku satu lagi gegaran mencecah tahap magnitud tujuh dalam tempoh dua atau tiga hari, sekali gus meletakkan kawasan metropolitan Tokyo dalam keadaan berjaga-jaga.
Bagi penulis dan rakan wartawan Harian Metro, Yusri Abdul Malek, pagi semalam menjadi pengalaman mengerikan apabila merasai sendiri gegaran agak kuat ketika berada di tingkat 25 hotel penginapan sehingga boleh merasai dengan begitu nyata bagaimana bangunan terbabit bergoyang.
Walaupun pelayan kafe di tingkat 25 yang berbangsa Jepun itu sudah agak lali dengan gegaran gempa bumi, ternyata mereka juga panik kali ini kerana percayalah, apa yang dirasai sudah cukup mengecutkan perut, termasuk bagi penulis yang bukan pertama kali mengalami gegaran gempa bumi.

Namun, gegaran susulan seumpamanya memang dijangkakan untuk beberapa hari seterusnya selepas setiap kali berlaku gegaran besar seperti mana yang terjadi Jumaat lalu.

Bagaimanapun, gegaran susulan dijangka mungkin mencecah tahap magnitud tujuh itu bukan lagi masalah utama bagi Jepun kerana letupan yang merosakkan sistem penyejuk di Reaktor No 1 dan No 3 loji nuklear Fukushima kini menjadi ancaman terburuk sejak tragedi nuklear di Chernobyl, Russia 25 tahun lalu.

Hampir kesemua saluran televisyen dan media di sini melaporkan perkembangan terkini, termasuk lintas langsung mengenai usaha membendung kebocoran nuklear selain memberi nasihat kepada orang ramai mengenai kaedah menyelamatkan diri sekiranya berlaku sebarang musibah. 
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Endo, dipetik berkata pertambahan gas hidrogen semakin banyak berlaku dalam reaktor yang rosak dan beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya letupan hidrogen.

Dalam pada itu, mangsa tsunami dan gempa bumi dari sekitar kawasan loji terbabit, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara, menjalani ujian pengesanan radiasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Buat masa sekarang, walaupun tiada larangan perjalanan dikeluarkan di Jepun, amaran pencemaran radiasi dikeluarkan di lokasi tertentu serta laluan tertentu ditutup sama sekali manakala pengangkutan darat diberhentikan sementara sehingga keadaan lebih terkawal dan komunikasi pula amat terhad.

Kekangan itu juga menyukarkan rakyat Malaysia, termasuk keluarga di tanah air atau mereka di Jepun, kerana terputus hubungan sejak Jumaat lalu meskipun sebahagian besar daripada mereka selamat di pusat pemindahan sementara.

Di Tokyo, catuan tenaga elektrik dilakukan bagi menyalurkan lebih bekalan ke kawasan yang terjejas akibat bencana. Bekalan dipotong selama tiga jam mengikut kawasan untuk kegunaan di kawasan dilanda gempa dan tsunami.

Walaupun kerja pembersihan bukan masalah besar bagi negara maju seperti Jepun, tugas mencari mangsa terselamat dan mengeluarkan mayat menjadi tanggungjawab getir bagi mereka, umpamanya di perkampungan Minamisanriku, Miyagi di mana 10,000 penduduknya masih hilang, wilayah Iwate dengan 23,000 penduduk, yang ranap sama sekali atau bandar Kesennuma yang sebahagian besarnya masih ditenggelami air. 

No comments:

Post a Comment